Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) selari dengan transformasi Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK). PBS bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani), psikomotor (jasmani) dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memberi penekanan kepada aspek Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelektual (JERI). Komponen PBS terdiri daripada Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
1.1 PUNCA KUASA
Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di sekolah rendah mulai kohort Tahun 1 tahun 2011 dan di peringkat menengah rendah mulai kohort Tingkatan Satu tahun 2012 adalah berdasarkan:
1.1.1 Akta Pendidikan
Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penilaian dan Peperiksaan) 1997, Bahagian II, Perkara 3 yang menggariskan fungsi Lembaga Peperiksaan adalah:
a. Perkara 3 (a): untuk memberi nasihat, memantau dan membuat analisis tentang penilaian berasaskan sekolah;
b. Perkara 3 (b): untuk mengendalikan semua peperiksaan mengikut peraturan- peraturan, garis
panduan dan arahan tentang peperiksaan; dan
c. Perkara 3 (c): untuk mengadakan peperiksaan, untuk mengendalikan pemantauan peperiksaan dan
menguatkuasakan peraturan-peraturan, garis panduan dan arahan tentang peperiksaan.
Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 17 Disember 2010 telah bersetuju supaya penambahbaikan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dilaksanakan dengan memberikan penekanan kepada pentaksiran untuk pembelajaran (assessment for learning) dan pentaksiran tentang pembelajaran (assessment of learning).
Selaras dengan arahan itu, Lembaga Peperiksaan (LP), KPM telah mengeluarkan:
a. Pindaan Surat Pekeliling Lembaga Peperiksaan Bil. 1 Tahun 2011: Penambahbaikan Sistem
Pentaksiran Kebangsaan Bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Mulai Tahun 2011 -
KP.LP.003.07.14 (3) bertarikh 22 Februari 2011.
b. Pindaan Surat Pekeliling Lembaga Peperiksaan Bil. 2 Tahun 2011: Penambahbaikan Sistem
Pentaksiran Kebangsaan Bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) Mulai Tahun 2012 -
KP.LP.003.07.14 (2) bertarikh 14 Februari 2011.
c. Surat Siaran Lembaga Peperiksaan Bil. 3 Tahun 2011: Pemakluman Pentaksiran Berasaskan
Sekolah (PBS) di Sekolah Rendah dan Menengah Rendah - KP.LP.003.07.14.05 (1) bertarikh 29
Julai 2011.
d. Surat Siaran Lembaga Peperiksaan Bil. 6 Tahun 2011: Penggunaan Buku Pengurusan dan
Pengendalian Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) Sekolah Rendah -KP.LP.003.07.14.05 (3)
Bertarikh 15 September 2011.
e. Surat Pekeliling Lembaga Peperiksaan Bil 1 Tahun 2014: Penambahbaikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bertarikh 31 Mac 2014.
1.2 SYARAT PELAKSANAAN
a. Semua murid sekolah rendah di sekolah kebangsaan / sekolah jenis kebangsaan / dan sekolah
swasta yang berdaftar dengan KPM di peringkat sekolah rendah atau Sekolah Swasta yang Tidak
Berdaftar dengan KPM tetapi mengikuti kurikulum kebangsaan hendaklah melaksanakan PBS di peringkat sekolah rendah.
b. Semua murid sekolah menengah di sekolah kerajaan / sekolah bantuan kerajaan / Sekolah Agama
Bantuan Kerajaan (SABK) / sekolah di bawah agensi kerajaan / Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) / Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM atau Sekolah Swasta yang Tidak Berdaftar tetapi mengikuti kurikulum kebangsaan hendaklah melaksanakan PBS di peringkat menengah rendah.
1.3 KOMPONEN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH
PBS merupakan satu pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif, afektif dan psikomotor selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan kurikulum kebangsaan. Komponen PBS terdiri daripada dua kategori iaitu akademik dan bukan akademik.
Kategori akademik terdiri daripada Pentaksiran Pusat (PP) dan Pentaksiran Sekolah (PS). Kategori bukan akademik terdiri daripada Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
Kedua-dua kategori ini memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah.
1.4 JADUAL PELAKSANAAN
1.5 PELAPORAN
SUMBER : PANDUAN PENGURUSAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH
LEMBAGA PEPERIKSAAN MALAYSIA
No comments:
Post a Comment