Sunday, 16 November 2014

PENGAJARAN ABAD KE-21

Pengenalan
Dalam proses menyediakan warganegara Malaysia dengan pendidikan yang lengkap bagi mengisi dua keperluan utama iaitu keperluan individu dan keperluan negara, kurikulum perlu dirancang dan diurus dengan teliti. Ini amat penting untuk menentukan supaya kurikulum ini sesuai dengan keperluan dan berkualiti cemerlang. Pembangunan tenaga manusia dan tenaga rakyat menjelang abad ke 21 tidak terhad kepada penyediaan danpembekalan tenaga pekerja yang berketrampilan dalam sektor-sektor perindustrian dan perdagangan sahaja.
Kurikulum bagi abad ke-21 perlu dibentuk supaya relevan dan koheran dengan keadaan pada masa itu dan boleh memenuhi matlamat-matlamat yang ditentukan. Garis panduan tentang bentuk, isi dan pelaksanaan kurikulum itu pastinya ditentukan  oleh senario yang dapat dilihat dari aliran pembangunan dan kemajuan teknologi.
Perancangan kurikulum abad ke-21, mestilah bersifat futuristik, fleksibel dan dinamik supaya dapat menentukan corak masyarakat dan profil bangsa dan warganegara Malaysia. Warganegara Malaysia bagi abad ke-21 mestilah dapat menangani cabaran yang akan dibawa arus oleh globalisasi, ledakan ilmu dan maklumat. Warganegara berupaya merancang masa depan mereka dan mampu membuat pilihan yang bijak dan tepat sesuai dengan budaya dan nilai-nilai semasa.
FOKUS / PENEKANAN KURIKULUM
Untuk memenuhi matlamat mewujudkan masyarakat Malaysia yang bersikap terbuka dan kreatif, kurikulum yang direncanakan mestilah mampu membekalkan pelajar dengan kesediaan diri yang kukuh dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi. Fokus pengisian kurikulum semestinya lebih daripada penguasaan pengetahuan dan kemahiran asas tetapi kepada penguasaan berbagai-bagai kemahiran iaitu :-
•        kemahiran berfikir secara kritikal dan kreatif
•        kemahiran berkomunikasi secara berkesan
•        kemahiran menikmati keindahan ciptaan dan seni
•        kemahiran membuat pilihan dan membuat keputusan
•        kemahiran mencari, menginterpretasi dan mengaplikasi maklumat
•        kemahiran bergaul dan bekerjasama dengan orang lain
•        kemahiran kepimpinan dan pengurusan

PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Pengajaran dan pembelajaran merupakan aspek penting dalam pelaksanaan kurikulum. Menjelang abad ke 21 pelajar perlu mendapat segala kemudahan yang disediakan untuk membantu mereka dalam proses pembelajaran. Komputer sudah pasti digunakan secara meluas.
Ciri-ciri pelajar untuk abad ke 21 ialah pelajar perlu memiliki beberapa aspek tertentu.  Di mana, pelajar abad ke 21 merupakan pelajar yang celik dari segala-galanya tidak kira dalam teknologi maklumat mahupun akademik. Pelajar abad ke 21 perlu memiliki aspek seperti :
  1. Pelajar berupaya membuat hubung kait di antara subjek yang dipelajari dengan keadaan sekeliling.
  2. Bijak menyoal guru ketika berada di dalam bilik darjah.
  3. Yakin untuk berkomunikasi terutamanya kepada guru dan rakan-rakan di dalam bilik darjah.
  4. Berani untuk mengambil risiko untuk belajar dan membuat kerja yang diberikan oleh guru dan juga berani mencuba.
  5. Dahagakan ilmu pengetahuan dan sentiasa ingin untuk menimba ilmu.
  6. Mempunyai perasaan ingin tahu.
  7. Bijak dan kreatif menjana idea serta fleksibel.
  8. Tidak pernah berputus asa.
  9. Sentiasa mendengar dan membuat refleksi di dalam bilik darjah semasa sesi P&P dijalankan.
  10. Berkemahiran kritis dan mampu untuk menguasai kemahiran literasi.
  11. Mampu berfikir sendiri dan membuat inisiatif.
  12. Pelajar abad ke 21 juga mampu untuk bekerja dengan orang lain dan berusaha untuk membuat perubahan.
  13. Mempunyai keperibadian yang tinggi serta berintegriti di dalam mahupun di luar bilik darjah.
Di samping itu, para guru juga perlu beralih kepada beberapa aspek memandangkan proses pengajaran dan pembelajaran untuk abad ke 21 amat mencabar. Guru-guru untuk abad ke 21 memerlukan beberapa ciri tertentu seperti berikut:
  1. Guru perlu menguasai subjek iaitu penguasaan terhadap kandungan kurikulum.
  2. Mahir dan berketerampilan dalam pedagogi semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.
  3. Memahami perkembangan murid-murid dan menyayangi murid.
  4. Memahami psikologi pembelajaran iaitu “Cognitive Psychology”.
  5. Memiliki kemahiran kaunseling.
  6. Menggunakan teknologi terkini tidak kira semasa sesi pengajaran dan pembelajaran mahupun di luar sesi tersebut.
Sumber pengetahuan utama abad ke 21 kelak merupakan sumber yang berkaitan dengan teknologi maklumat. Dengan itu kemudahan seperti komputer, multimedia, cekera padat dan corridorraya multimedia  seperti 'internet' perlu disediakan untuk digunakan oleh semua pelajar. Adalah diharapkan pengajaran dan pembelajaran pada abad ke-21 dibentuk sepenuhnya oleh komputer. Ini bukan bertujuan menggantikan guru dengan penggunaan teknologi tetapi untuk menimbulkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih menyeronokkan, berkesan dan lebih bermakna kepada pelajar.
(a) Teknologi Maklumat/Komputer
Dalam konteks pendidkkan, teknologi maklumat merupakan peralatan teknologi komunikasi atau sistem rangkaian elektronik yang boleh digunakan untuk mengumpul, menyimpan, memproses, menyalurkan dan menyampaikan maklumat secara pantas dan tepat seperti internet atau multimedia atau hypermedia untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Perkembangan bidang teknologi maklumat telah dapat memudahkan manusia berkomunikasi dalam mengurus, menyimpan dan menyebar maklumat dengan lebih canggih sama ada dalam bentuk data teks, imej atau suara.
Pelajar dalam abad ke 21 pasti berada dalam gelombang teknologi maklumat, untuk itu setiap pelajar perlu celik komputer. Ini kerana komputer beupaya meningkatkan mutu pembelajaran. Sudah sampai ketikanya komputer menjadi alat standard di semua sekolah di peringkat rendah, menengah dan lepasan menengah. 
(b) Pengajaran dan Pembelajaran Berpusatkan Pelajar                   
Proses pengajaran dan pembelajaran dalam abad ke 21 masih tetap berpusatkan pelajar. Malah ia perlu dipertingkatkan dariapda apa yang diamalkan sekarang. Guru memainkan peranan lebih penting kepada pelajar dengan melibatkan pelajar sepenuhnya secara aktif dalam semua aktiviti sama ada di dalam atau di luar darjah. Guru lebih-lebih lagi berperanan sebagai pemudah (fasilitator) pembelajaran dan berperanan sebagai pembekal maklumat.
Pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran perlu dirancang oleh guru bagi membina dan mengukuhkan minat murid terhadap pembelajaran. Murid dibimbing supaya bersedia menerima pengajaran dan berupaya untuk meneruskan pembelajarannya sendiri. Pelajar ketika itu perlu dilatih untuk berdikari, yakin pada diri sendiri dan meningkatkan rasa tanggungjawab.
Dalam rangka pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar, tenaga pengajar/guru di sesebuah bilik darjah sekurangnnya terdiri daripada seorang guru dan seorang pembantu guru untuk membimbing pelajar yang tidak melebihi 25 orang pelajar. Keadaan kelas dengan dua orang guru dengan sekelompok murid patut dijadikan amalan bagi meningkat dan mengukuhkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan pelajar.
(c) Pendidikan Jarak Jauh
Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) merupakan kesinambungan inovasi kreatif dalam pendidikan diri abad ke 20 ke abad ke 21. Peluasan PJJ seharusnya sampai ke sekolah dari peringkat rendah lagi tidak sahaja terhad di pusat-pusat pengajian tinggi. Pendidikan Jarak Jauh dalam proses pengajaran dan pembelajaran abad ke 21 mengambil kira faktor-faktor berikut:
•        Bilangan hari persekolahan adalah fleksibel (mungkin tidak lebih tiga hari seminggu)
•        Setiap sekolah mempunyai kemudahan komputer
•        Penggunaan bahan pembelajaran yang telah diterbitkan sebagai asas untuk pelajar
•        Bahan khusus yang terancang untuk memenuhi keperluan belajar individu
•        Kebolehubahan (flexibility) kandungan kurikulum bahan pembelajaran melalui  struktur modular
•        Pembentukan bahan pembelajaran yang terancang dan sistematik mengandungi objektif yang jelas, alat ujian kendiri, aktkviti pembelajaran dan maklum balas pelajar.
(d) Pendekatan Modular
Pendekatan secara modular berperingkat kesukaran bagi setiap tajuk disediakan dalam bentuk bercetak dan/atau CD-ROM untuk satu-satu tahun pengajian. Modul ini disediakan untuk semua mata pelajaran di semua peringkat persekolahan.
Pelajar boleh beralih ke modul berikutnya apabila selesai menggunakan modul yang disediakan tanpa menunggu arahan guru. Pendekatan modul ini telah diamalkan di institusi pengajian tinggi tempatan. Apa yang perlu ialah menyesuaikannya mengikut tahap kebolehan pelajar.
(e) Mastery Learning
Pendekatan pembelajaran berfokus kepada penguasaan pelajar terhadap sesauatu perkara yang diajarkan kepada mereka. Penguasaan pelajar ditentukan melalui ujian diagnostik. Tindakan susulan diberikan kepada mereka yang belum menguasai supaya kelemahan mereka tidak terhimpun di akhir setiap pembelajaran.
(f) 'Tracking' dan 'Banding'
Bergantung kepada tahap penguasaan pembelajaran, pelajar ditempatkan dalam beberapa kumpulan sama ada kumpulan asas (basic), kumpulan umum (general) atau kumpulan maju (advance). Pembelajaran juga dilaksanakan mengikut sistem banding iaitu 'vertical' dan 'horizontal'. Melalui sistem ini pelajar berubah kelas mengikut kebolehan dalam mata pelajaran. Misalnya pelajar Tahun 2 sekolah rendah boleh mempelajari matematik Tahun 3 sekiranya ia sudah menguasai kemahiran matematik Tahun 2.
(g) Sistem Kredit
Unit kredit adalah nilai masa/tempoh dan tugasan yang diperlukan oleh pelajar untuk menyiapkan kerja-kerja kursus yang telah ditetapkan bagi setiap kursus pengajian. Kerja-kerja kursus ini termasuklah menghadiri kelas, membuat kerja projek, tugasan, kerja-kerja makmal dan amali. Pelajar dibenarkan mengulang mata pelajaran yang tidak mencapai asas yang ditetapkan.
PENILAIAN
Aspek penilaian kemajuan pelajar adalah penting untuk menentukan tahap penguasaan, kemahiran dan penghayatan. Maklumat tentang tahap penguasaan pelajar menjadi petunjuk untuk membuat perancangan pengajaran dan pembelajaran seterusnya. Alat-alat dan perkaedahan penilaian mestilah benar-benar dapat mengukur dengan tepat kebolehan dan keupayaan pelajar seperti berikut
a)    Penilaian Berasaskan Sekolah
b)   Penilaian Berterusan
c)    Penilaian Berasaskan Elemen Subjek
d)    Penilaian Proses di samping Penilaian Hasil
e)    Authentic Assessment
f)     Penilaian Hasil Pembelajaran (Learning Outcomes)
g)    Bench Marking
h)    Ujian/ Peperiksaan Secara Online
PENUTUP

Perlu ditegaskan bahawa apapun bentuk reformasi kurikulum yang dianjurkan tidak akan dapat hasil yang diharapkan jika tidak diikuti dengan penyusunan semula di dalam bidang-bidang lain, kerjasama di antara agensi-agensi di Kementerian Pendidikan dan mengambil perhatian yang berat tentang pelaksanaannya. Dalam menjayakan hasrat penubuhan Sekolah Bestari, tumpuan utama seharusnya diberikan kepada pembangunan prasarana teknologi, penyediaan latihan semula guru, penyediaan bahan kursus dan format penilaian, di samping penglibatan pihak swasta, ibubapa dan komuniti dalam menangani tugas yang besar ini.

No comments:

Post a Comment