Apa Itu KBAT | Perbezaan Masalah Rutin & Bukan Rutin |
Secara umum, masalah boleh diklasifikasikan sebagai masalah rutin dan masalah bukan rutin. Masalah rutin hanya memerlukan beberapa prosedur seperti operasi aritmetik untuk mendapatkan penyelesaian.
Sebaliknya, jika situasi masalah itu tidak boleh diselesaikan mengikut kaedah pengiraan biasa maka ia dikenali sebagai masalah bukan rutin. Dalam situasi seperti itu, pelajar meneroka cara penyelesaian yang lebih mendalam untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Masalah Rutin KBAR
Masalah rutin merupakan masalah yang melibatkan hanya satu operasi aritmetik sahaja dalam menyelesaikannya. Dalam menyelesaikan masalah rutin, kita hanya perlu memahami masalah, memilih operasi yang sesuai serta mengaplikasikan algoritma-algoritma yang telah dipelajari. Prosedur penyelesaiannya adalah sudah kita ketahui. Ketika menyelesaikan masalah rutin, kita perlu mengenalpasti
1. Apakah soalan yang perlu dijawab
2. Fakta-fakta atau nombor yang perlu digunakan
3. Operasi-operasi yang perlu digunakan
4. Anggaran nilai penyelesaian
Masalah rutin memberi kesan seperti berikut kepada kita:
a. Memberi latihan dalam mengingat fakta-fakta asas dan langkah - langkah yang berurutan
b. Mempertingkat kemahiran-kemahiran dalam operasi asas
c. Memberi peluang untuk berfikir tentang perkaitan antara sesuatu operasi dan aplikasinya kepada situasi-situasi sebenar.
Contoh-Contoh Soalan Rutin
Contoh 1 :
Ali makan 2 keping roti. 5 minit kemudian, dia makan 1 keping lagi roti. Berapa banyak keping roti Ali makan kesemuanya?
Contoh 2:
Maria membeli sekotak susu dengan harga RM1.55 dan sebungkus biskut dengan harga RM1.70. Berapakah jumlah wang yang dibayar oleh Maria?
Contoh 3 :
Cari perimeter segi empat tepat yang mempunyai panjang 8 meter dan lebar 17 meter.
Contoh 4 :
Cari panjang sebuah segi empat tepat yang mempunyai luas 48 meter persegi dan lebar 6 meter.
Masalah Bukan Rutin KBAT
Masalah bukan rutin merupakan masalah yang memerlukan proses-proses yang lebih tinggi dalam menyelesaikan masalah berbanding masalah rutin. Untuk mencari penyelesaian dalam masalah bukan rutin adalah bergantung kepada kebolehan menggunakan pelbagai strategi penyelesaian masalah bersama dengan fakta-fakta dan maklumat dalam pertimbangan. Prosedur penyelesaian masalah bukan rutin tidak kita ketahui. Masalah bukan rutin biasanya diselesaikan dengan pelbagai cara yang memerlukan proses pemikiran yang berbeza.
Antara kesan positif dalam mengaplikasikan masalah bukan rutin ialah seperti berikut:
1. Dapat mengembangkan penggunaan strategi-strategi penyelesaian masalah
2. Memberi peluang untuk memikirkan pelbagai cara penyelesaian, berkongsi kaedah-kaedah penyelesaian masalah serta meningkatkan keyakinan diri dalam penyelesaian masalah matematik
3. Dapat menikmati keindahan dan logik yang wujud dalam matematik
4. Meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis.
Contoh-contoh Soalan Bukan Rutin
Contoh 1 :
Maria membeli sekotak susu dengan harga RM1.55 dan sebungkus biskut dengan harga RM1.70. Dia memberikan RM4.00 kepada jurujual. Berapakah bilangan syiling yang diterima oleh Maria sekiranya jurujual itu memberikannya beberapa syiling 5 sen, 10 sen dan 20 sen?
Terangkan jawapan anda?
Contoh 2 :
Mamat ingin membina pagar bagi reban ayam yang berbentuk segi empat. Dia mempunyai 20 meter wayar pagar.
- Apakah saiz segi empat yang boleh beliau hasilkan?
- Bentuk manakah yang terbaik
Contoh 3 :
Antara nombor-nombor berikut, nombor yang mana berbeza? Mengapa?
23, 20, 15, 25
Contoh 4 :
Ali telah membeli sebuah basikal dan kemudian menjualnya kepada rakannya dengan harga RM240. Dia telah mendapat keuntungan sebanyak 20% selepas menjual basikal itu.
Berapakah harga kos basikal tersebut ?
No comments:
Post a Comment